Khamis, 5 Disember 2024

Melayu Melaka

Ruangan ini menceritakan tentang Melayu Melaka. Segala hal yang berkaitan Melayu Melaka akan dirujuk kepada bahan-bahan yang ada di Koleksi Melaka.



Baju kebaya labuh dipercayai telah diperkenalkan oleh tukang jahit istana zaman Kesultanan Melayu Melaka untuk dipakai oleh permaisuri dan puteri raja. Lama kelamaan ia menjadi  orang di luar istana dengan sedikit perubahan potongan dan pemilihan kain seperti songket, broket atau krasa berdasarkan kepada pemakai. 

Kebaya labuh biasanya dipadankan dengan kain songket bersulam benang emas atau perak ataupun kain batik bercorak bunga dan tumbuhan. Beberapa padanan aksesori seperti pemanis dahi, gandik, cucuk sanggul, selendang, kerongsang, rantai leher atau dokoh, gelang tangan dan gelang kaki menambakan lagi seri kepada diri pemakai.

Sementara bagi lelaki, persalinan baju Melayu songket perak warna kuning ini menunjukkan kemewahan dan kestabilan. Setanjak, baju cekak musang bersamping tenun coklat pekat bunga tabur benang emas. Pending kencana, tali pinggang perak berkerawang dipakaikan di atas bengkung pengemas diri. Tidak lupa keris sebagai pertahanan diri.



Busana jubah Arab dan bersanggul lintang amat dominan dengan budaya Melaka yang mana ia dapat membezakan bentuk dan pakaian adat dengan negeri-negeri lain. Busana ini merupakan busana perkahwinan tradisi negeri Melaka sejak zaman dahulu lagi.

Bagi busana pengantin perempuan, lengkap berpakaian baju kurung songket dengan bahagian dada dilapisi lapik dada atau teratai bertekat dengan motif bunga atau burung cenderawasih. Perhiasan wajib adalah sanggul lintang. Pengantin perempuan juga dilengkapkan dengan perhiasan lain seperti alas dada, juntaian bunga melor, gelang kaki tembaga dan kasut baldu bertekat.

Manakala busana pengantin lelaki pula terdiri daripada baju serban jubah Arab dan di bahu dilampaikan sehelai kain sebai (memakai tetampan) yang bersulam dan bertekat dengan benang emas dan kasab. Bahagian dalam baju jubah ini dipasangkan baju gamis. Bahagian kepala dilengkapi dengan serban.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan